Azman dari Taman Melati, seorang pemuda yang baik

 Assalamua'alaikum & Hai,

Hari ini, saya teringat akan satu kisah yang bagi saya baik untuk dijadikan teladan untuk anak-anak muda, lebih-lebih lagi untuk anak saya.

Dijadikan cerita, pada suatu petang, suami saya baru pulang dari masjid, hendak ke kedai membeli barang-barang dapur. Ketika itu, kami tinggal tidak jauh dari stesen LRT Taman Melati.

Semasa dalam perjalanan, suami saya terpandang ada satu dompet yang tercicir di atas jalan. Beliau pun mengambil dompet tersebut dan membawanya pulang.

Ketika di rumah, kami pun buka dompet tersebut dan melihat isinya untuk memastikan siapakah pemilik dompet tersebut. Kami dapati di dalamnya ada wang kertas kurang dari RM5, dan juga satu kad yang mengatakan pemiliknya merupakan penghidap Thalassemia. Kebetulan, dalam kad tersebut ditulis nombor telefon pemilik kad.

Tanpa membuang masa kami menghubungi nombor tersebut dan memberitahu, dompetnya ada pada kami. Kami juga memang tidak mengharapkan apa-apa ganjaran kerana bagi kami memang tanggungjawab kita dalam masyarakat untuk memulangkan semula hak orang lain (dompet tadi).

Setelah itu, kami mendapat panggilan bahawa adik tersebut sudah berada di lobi apartment dan sedia untuk mengambil semula dompet beliau. Sesampai di lobi, saya terus menyerahkan dompet tersebut, lantas adik tersebut menghulurkan satu beg plastik.

"Kak, ni mak saya pesan suruh bagi dekat akak. Terima kasih banyak-banyak sebab pulangkan balik dompet, tapi saya mampu bagi ni je kat akak"

Saya membalas, "Ya Allah dik, susah-susah je, bukan kene mintak balas pun, memang niat nak pulangkan saja",

"Takpa kak, memang ikhlas kak, lagipun memang mak saya suruh bagi ni".

Tidak lama kemudian, anak muda itu pun beredar dengan motosikalnya.

Saya pun menerima pemberian tersebut dengan hati yang terbuka. Saya dapati dalam beg plastik tersebut mengadungi sebungkus roti gardenia dan sekotak susu. 

Sejuk hati saya melihatnya, bukan sebab diberi balasan untuk pemulangan dompet, tetapi saya tersentuh kerana keikhlasan seorang remaja, yang baru meningkat dewasa yang masih mempunyai adab dan akhlak yang baik, meskipun pada penilaian saya beliau tidaklah mempunyai wang yang banyak, kerana masih muda belia, dan masih bersekolah.

Setiap kali terpandang namanya ketika melihat nombor-nombor yang disimpan di dalam telefon bimbit saya, saya akan sentiasa mendoakan kebaikan beliau dan keluarga beliau. Semoga anak saya juga dikurniakan hemah dan peribadi yang baik seperti beliau juga.

Nama beliau adalah Azman (bukan nama penuh, bagi menjaga hak pribadi), dari Taman Melati.

-End-

Comments

Popular Posts