--36 tahun yang lalu--




Assalamu'alaikum,









Kita baru menjejak usia 25 tahun. Hari ni kita ada cerita. Ada kisah yang mahu kita kongsi. Sudi Baca?






36 tahun yang lalu...






Terlihat kelibat seorang pemuda turun dari bot penumpang, berjalan seorang diri dari jeti ke bandar Saratok, kira-kira 350km dari Kuching, Sarawak. Matanya meliar melihat keliling. Ada macam-macam papan tanda, kedai kopi, kedai gambar muka ah-moi pakai cheong sam, kedai buku, kedai nombor ekor, betul-betul umpama pelanduk masuk kampung. Takut-takut, namun gembira tidak terkata.



Inilah kali pertama dia keluar dari ceruk kampungnya, nun... di Ulu Batang Saribas nun. Inilah kali pertama dia melihat dunia selain dari kampungnya. Ialah tahun 1975 mana ada peti telivisyen di pedalaman Sarawak. Kalau ada pun radio kuasa bateri, itu pun siaran putus-putus. Bateri habis jemur tengah panas sampai guna balik sampi boleh dibuang.


Ini kali pertama dia menyedut udara bandar, menyedut asap motosikal, asap keretea. Inilah juga kali pertama dia berpakaian segak. Bercelana cokelat tua yang dibelinya raya tahun lepas, baju kolar kain jersi warna biru muda pemberian Pak Anjang, dan berselipar jepun separa haus. Memang segak habislah dia rasa.


Usianya baru menjengah 20 tahun, lima tahun lebih muda dari usia kita sekarang. Dalam sakunya ada RM15, kira punya kira, barangkali cukup-cukuplah untuk belanja beberapa hari dan tambang balik ke kampungnya.



"Besar Saratok tok mun dibanding ngan Pusa (Besar bandar Saratok, kalau dibanding dengan Pusa)", bisik hati pemuda.



Mata sepet-sepet mendongak ke langit. Tengahari cuaca panas terik, teh ais dipesan, diteguk beberapa kali untuk hilangkan dahaga. Peluh menitik di dahi, ketiak baju basah dek peluh tidak dihirau. Tekad sudah hatinya, masih ada hajat di hati yang belum tercapai. Jauh pandangannya ke arah Sungai Saratok yang warna airnya cokelat-cokelat muda kerana sudah hampir-hampir dekat dengan kuala, sambil-sambil merancang langkah yang patut diambil seterusnya.



Habis teh ais diminum, pemuda itu menyambung lagi perjalanan. Terasa ada batu-batu kerikil kecil tersekat dalam selipar jepun separa haus itu. Pemuda itu bersihkan lagi seliparnya sambil berangan-angan mahu membeli kasut baru kalau berjaya dapat kerja baru di Kuching kelak. Mana mampu nak beli yang kasut mewah sekarang, kerja di kampung sekadar berhuma padi, menjala ikan, udang di pinggir sungai bersama Pak Anjang yang amat disayanginya, yang juga dianggapnya seperti bapa kandung sendiri.



"Nama brita? Ka' kini nuan (Apa khabar? Nak ke mana)?" tegur seorang lelaki dalam bahasa Iban, senyum, bermisai nipis, rambut belah tepi, berkaca mata retro.



"Manah jak aku, ka' jalai-jalai, raon ka pasar (Baik sahaja, nak jalan-jalan di pasar)", jawab pemuda itu, juga dalam bahasa Iban sambil membalas senyuman.



Populasi bandar Saratok hampir 90 peratus penduduknya berbangsa Iban sekitar tahun 1975. Jadi kebolehan bertutur dalam bahasa Iban adalah satu kemestian bagi mana-mana penduduk yang menetap di sekitar bahagian Sri Aman, Betong, Spaoh, Kabong, Beladin sehinggalah ke bandar Saratok, termasuk pemuda itu tadi, yang berbangsa Melayu Sarawak, juga digelar Orang Laut, kerana asal usulnya dari pesisir Batang Saribas.






Pemuda tersebut menyeluk tangan ke dalam saku celananya. Ada cebisan kertas buku tiga lima renyuk-renyuk sedikit. Ada tertulis alamat. Kuarters Kakitangan Telekom Malaysia. Pemuda mendongak kembali ke hadapan dan meneruskan langkah.






Setelah puas berjalan, bertanya-tanya orang sekeliling, akhirnya pemuda sampai di hadapan sebuah rumah papan, atap zink, kuaters kerajaan. Puas hatinya, namun jantungnya masih tetap berdegup kencang. Peluh di muka di lap-lap sedikit dengan tapak tangan. 18 tahun. 18 tahun dia menantikan saat ini. Dalam hatinya dua tiga dua tiga. Ada orangkah dalam rumah? Kalau ada, mahukah orang itu berjumpa dengannya?






"Assalamu'alaikum", pemuda tadi memberi salam sambil menelan air liur yang ternyata hampir kering kerana panas.






Tak bersahut.






"Assalamu'alaikum", sekali lagi pemuda memberi salam, kali ini harapannya lagi tinggi agar salamnya bersambut.






"Wa'alaikumussalam, kitak mok carik sapa? (awak nak cari siapa)?" jawab seorang wanita,menjengah ke luar, bersanggul, berkebaya bandung, berkain batik jawa sambil mengendong anak kecil di pinggang kananya.






"Kamek mok bertemu ngan Abang Abidin Abang Mohsin, adanya di rumah ka? (Saya nak berjumpa dengan Abang Abidin Abang Mohsin, dia ada di rumah?)" jawab pemuda sambil tersenyum gembira.






"Aih... adanya di rumah, tunggu kejap, jemput masuk (Dia ada di rumah, jemputla masuk)", pelawa wanita tersebut.






Seketika kemudian, keluar seorang lelaki, lelaki yang sama dijumpainya di Pasar Saratok, berkaca mata, rambut belah tepi, bercermin mata retro. Sungguh tidak disangka, lelaki tadi adalah abangnya yang ditunggu sejak 18 tahun lepas. Abang kandungnya yang terpisah setelah ibunya meninggal dunia ketika usianya baru merangkak satu setengah tahun.






Tidak sia-sia dia membanting tulang, berkumpul duit hasil upah menjual padi huma milik Pak Anjang. Tidak sia-sa usahanya bertanya-tanya orang yang keluar ke Kuching, ke Pusa, ke Sri Aman, bertanyakan tentang abang yang dirinduinya. Tidak sia-sia, hatinya memanjatkan doa kepada Yang Esa agar dipertemukan dirinya dengan saudara kandungnya.






Lantas pemuda tadi teringat cerita Pak Anjang ketik dia menjala ikan di Batang Saribas enam bulan lepas.






"Ibu kau, Dayang Hanifah meninggal dunia, setahun setengah selepas melahirkan kau. Namun, sebelum pergi mengadap ilahi, ibu kau sempat berpesan dengan Mak iaitu kakak Ibu, bahawa kau harus dipelihara sebaik-baiknya seperti anaknya sendiri.






Ayah kau pula berhijrah ke Sri Aman, bawa semua abang-abang kau sekali, ingin membawa sekali kau bersama, tapi dihalang Mak kerana ingatkan amanah Ibu kau.






Kau dibesarkan Mak, diasuh, disusukan seperti anaknya sendiri, diajar, dipalu, dimarah, seperti anaknya sendiri.






Kau sendiri lihat, kau dan Akip, sepupu kau, anak Mak, sama-sama disayang, dan sama-sama dimarah kalau degil mandi kuala ketika air pasang.






Nah, sekarang kau da besar, kau pergilah cari abang-abang kau agar jangan putus hubungan. Keluarga kita bukan besar, kau pergilah".






Pemuda tadi tersedar kembali dari kenangannya, sambil bertahmid memuji Penciptanya,






"Syukur ke hadrat Allah, Segala Pujian Bagimu Tuhan Pencipta Alam, Engkau pisahkan kami, dan Engkau jua yang menemukan kami dalam keadaan yang penuh barakah",






Ini kisah kita nak kongsi bersama. Harap sudi baca. Kisah Bapak kita, kisah kita dengar masa balik Raya itu hari. Kisah kita dengar masa kita jemput adik kecil kita yang dipelihara di kampung, dlam perjalanan dari Pusa ke Kuching.






Kita harap kita ambil teladan. Keluarga kita bukan besar, itu Bapak pesan sampai sekarang. Pesan sejak dari kita kecil nakal-nakal, sampai umur kita 25 tahun. Jangan putus saudara. Jangan putus hubungan.




Bagaimana Bapak sanggup tunggu 18 tahun untuk berjumpa abang kandungnya, walau suara, muka barangkali ingat-ingat lupa, entah-entah barangkali lupa langsung bentuk wajah, walau tak pernah bermain lumpur bersama, tak pernah makan tidur bersama, kerana terpisah sejak dari umur satu setengah tahun. Namun kerana sayang dan kasih seorang adik kepada abang-abangnya, sungguh tak pernah bertemu, Bapak tetap cari sampai jumpa.




Inikan pula kita, yang sudah ada email, ada facebook, ada telefon.






=) I miss and love my family.






Al-Fatihah buat:



Nek Hanifah (Ibu Kandung Bapak), Nek Sen (Ayah Bapak), Nek Anjang (Ayah Saudara Bapak), Nak Mas(Mak Asuhan/Ibu Susu Bapak), Wa Sa'ad (Abang Sulung Bapak), Abang Azrol (Anak Wa Saad), Izwan (Anak Uncle Nor)






SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN



(walaupun Raya da lepas da~! entri lambat publish pasal sibuk)






--TAMMAT--

Comments

Mohd Noor Amin said…
Sedihnya... Al-fatihah

Popular Posts