--KENYALANG--
After a long search lookin for Lagenda Tandang Sari, I've found diz short story on d net, from Faizal Tehrani's website (again...) enjoy reading
INI cerita betul. Ia bukan cerita pendek yang dikarang sesedap rasa.
Begini: nama abah Hasan. Lama dia telah pergi. Cerita emak, abah deritai Parkinson. Abah peninju handalan dalam angkatan tentera. Mungkin itu sebab yang banyak menyumbang kepada keuzurannya.Emak juga sudah berhijrah ke sana. Lama juga. Pada musim haji. Emak berangkat ke alam lain ketika di Madinah. Kali terakhir saya melihat emak di bangunan Tabung Haji. Dia melambai-lambai dalam telekung putih, kata emak, Kau jadilah pendidik yang betul. Hanya kemudian mak ngah berkisah yang emak pura-pura aman dalam perkahwinan.
Emak sekadar mengahwini kujur tubuh seorang lelaki Hasan. Sedang hati abah, perempuan lain berpenghuni. Barangkali kerana itulah emak tidak kerap tersenyum. Raut wajah tercengkam duka. Emak terlalu menyayangi abah tetapi malang, emak perempuan yang datang lewat. Sarawak masih terlalu mentah di dalam Malaysia dan penerimaan terhadap orang Semenanjung terutama yang berjawat tentera belum begitu intim. Kata mak ngah kala tentera dari Semenanjung turun ke pasar, digelar orang ‘katak hijau’ kerana warna uniformnya. Tahun 60 an, tentera dari Semenanjung biasa bertali leher, ejek rasmi orang Kuching, askar mengenakan ‘jamban tarik’. Tali leher jadi permainan yang kasar. Mungkin juga bukan gurauan, kalau tidak masakan ayah terlalu terseksa.
Saya selalu cuba mengerti situasi itu. Politik nasional masih rusuh, Kominis masih garang, benih konfrontasi kekal girang, Filipina masih mengintai Sabah dan Brunei misalnya belum tersentosa oleh suara oposisi yang berbeza. Pendek kata pulau besar Borneo dalam gelora. Terus terang, saya tidak mahu berpihak kepada emak. Bukan kerana saya rapat dengan abah. Saya kurang mengenalinya malahan. Saya agak kecil waktu abah mendadak tiada. Saya hanya mahu memahami. Anak yang cuba mengerti. Justeru saya tidak mengecam sesiapa.
Dalam penerbangan sejam lebih ke Kuching selepas disahkan menjadi guru di Kudei, saya mengamat-amati gambar abah yang kusam. Suara rakan-rakan maktab mengusik sesekali tergema memercik di gegendang, Nanti tersangkut orang Sarawak. Atau ancaman, Sarawak terlalu jauh untuk yang berjantina perempuan, kalau kau terdampar di tengah hutan mengajar anak Penan? Saya hanya senyum sambil membalas, Tidak mengapa, anak Iban, Dayak, Melanau atau anak Penan sekalipun. Mereka anak Malaysia. Aku mahu ke sana, mengenal-ngenal bahagian lain negara, kalau ditakdir aku sampai menyayangi maka harus dikatakan apa lagi? Rakan-rakan yang seboleh mengelak terhantar ke Malaysia Timur gamam dengan ujaran begitu.
Sebetulnya saya cuma mahu membaca nota-nota cinta tinggalan abah. Saya fikir jiwa abah dikebumikan di dasar Sungai Sarawak yang kata orang sungguh sempit. Dua malam sebelum berangkat abah datang dalam mimpi, tersenyum sungguh segak dan berbisik tenang ‘Cari dan kembalikan sukma abah yang tercicir di sana.’ Saya terjaga dalam peluh dan menjadi tambah cekal untuk hidup berdikari di rantau orang. Gambar abah dalam genggaman: rambut pendek tetapi sedikit berombak dan tegak di bahagian tengah. Sawo matang yang pasti segar memikat pada mata gadis. Matanya kecil menyerlahkan rupa seakan-akan Cina. Gigi abah kurang cantik walau masih tersusun tetapi taring penyerinya ketara dan hidung abah saya sedari tidak bertulang, terlazim hidung peninju begitu. Abah memang kacak. Manis orangnya waktu muda. Pesawat gegar dan awan di luar membentuk wajah abah. Matanya redup tetapi mengharap. Kemudian awan tersentak dilanda angin dan menghilang jadi rintik air. Memori saya dengan abah tidak banyak. Saya masih anak-anak dan abah pendiam. Saya tidak pernah pula tahu rahsia nama saya. Satiyah binti Hasan.
Kapal terbang jejak di landasan. Husna rakan semasa menuntut di MRSM Jasin dahulu telah mencarikan saya sebuah kamar sewa tidak jauh dari Satok. Sungai Sarawak begitu hampir, katanya menyambut saya di lapangan terbang. Saya terkhayal sementara bila dibawa melewati pesisiran sungai yang kaya, memerhati bot penambang menghala ke Fort Margherita, suatu tugu cinta Brooke. Kau pasti sukakan kamar sewa yang kucarikan. Murah berpada dan makcik tuan punyanya, begitu banyak sekali persamaan dengan kau Ti. Dan kamar sewa itu. Wah, makciknya budiman sekali. Kata Husna, anak-anaknya telah tiada, Semua menetap di Kuala Lumpur.
Makcik bertubuh besar, tinggi, sedikit tetal dan berkulit hitam manis dengan sepasang mata yang sedih. Mukanya bujur dan Husna ketawa memperkenalkan kami berdua seraya meninggalkan kami separuh gamam Nama makcik Satiyah, itu yang memggugupkan saya. Aneh bukan? Lambat, saya lebih tahu, yang makcik tidak pernah ada anak. Dia bukan mandul. Tetapi dia tidak pernah berkahwin. Saya pernah bertanya suatu malam waktu dihidangkan dengan teh mayang setelah kenyang menghadam mi sapi, umai dan bubur pedas. Memang tidak pernah berkahwin. Tetapi kasih disimpan dalam hati dan akan makcik bawa ke mati, begitu balasnya. Saya pun menimbang-nimbang dan mengerti ada sisik rahsia yang menyelaputi tubuh wanita tua ini.
Emak tidak pernah menyalahkan abah. Dia sedar hati yang telah berpenghuni sukar untuk diisi. Jadi emak menelan jiwanya dan saya tahu emak tidak pula terlalu menagihkan abah. Dia mendapat abah sebagai darah dan daging. Mereka bercumbu bermesra mendapatkan saya tetapi emak lebih cemburu, hati abah untuk perempuan lain. Jadi emak setelah bertahun-tahun berasa iri belajar untuk berpuas hati yang dia dapat merasai seorang lelaki hebat tetapi gagal memiliki batini. Sukma abah ada di Kuching. Ada bersama saya. Saya sedari secara amat tidak sengaja setelah penuh berteka-teki dengan makcik yang amat misteri itu.
Saya pulang dari mengajar dan terlihatkan makcik menanti di pintu dengan wajah lesi dan sayu. Mengapa aku terlalu bodoh tidak menyedari yang Hasan telah datang semula. Dia pecah tangis. Lama. Makcik terjelepok di atas tangga membiar saya bingung sementara. Gambar abah di tangannya menjadi jawapan. Aku sayangkan Hasan. Laut yang telah memisahkan kami. Aku tidak tahu bagaimana untuk mencari dia di Kedah. Aku tidak tahu, aku tidak tahu…aku tidak pernah keluar dari kampung ini, apatah lagi untuk ke Semenanjung. Emak, mestikah saya menerima dia? Perempuan yang telah mengurung abah selama ini hingga emak merana cinta. Kurungan kasih. Makcik tambah tersedu bila diberitahu ayah telah tiada. Peninju yang sudah mencuri hati dan mimpinya telah pergi. Memang abah bukan Muhammad Ali tetapi saya pasti makcik tidak pernah berhenti berbangga walau sedetik pun akan kekasihnya itu. Saya jadi simpati kepada setiap watak. Makcik tidak pernah memilik jasad abah tetapi dia bertuah punyai hati lelaki itu. Emak tidak pernah menguasai sukma suaminya tetapi dia beruntung punyai tubuh abah. Abah seolah-olah paling terganjar tetapi sebenarnya abah yang paling derita. Dia tidak dapat apa-apa. Siapa kata bagi seorang lelaki cinta hanyalah suatu peristiwa? Bagi abah cinta adalah emosi.
Pernah mendengar lagenda Tandang Sari dari bumi Kenyalang? Seorang gadis Dayang Esah yang mencintai Awang Bunut dipaksa mengahwini Nakhoda kerana ayahnya terkesima oleh kilauan sepuluh kati emas. Setelah dilapor orang kampung perihal Dayang Esah yang berkebetulan mengadu nasib diri kepada perindunya, si ayah telah bertindak jauh dengan membunuh anak perempuan sendiri atas nama maruah dan menjaga air muka di hadapan Nakhoda yang banyak memberi. Kisah makcik jauh dari lagenda tetapi bagi saya ia adalah suatu kisah cinta yang murni. Seperti kata saya, kemasukan Sarawak dalam Malaysia belum dewasa dan kesesuaian perkahwinan wilayah itu belum cukup bersenyawa. Prasangka masih menebal dan makcik dihalang dari mengahwini abah kerana itu semua. Makcik dipaksa mengahwini seorang pemuda dari kelas mewah Abang Ruhi tetapi cekal mendegil diri hingga ayahnya melancar amuk dan menikam makcik bertubi-tubi. Semua orang menyangka gadis Melayu kacuk Melanau itu sudah dijemput ajal pada malam kejadian. Makcik dibawa ke hospital dalam parah dan disembunyikan oleh beberapa rakan yang simpati. Kemudian makcik membawa diri setelah pasti dibuang keluarga yang begitu melebihkan air muka.
Abah sudah pulang ke Semenanjung sebelum itu dan mendapat berita yang makcik telah meninggal dunia lantaran teruk dibelasah ayahnya. Dia memakan hati, berasa bersalah dan tidak mahu mengampunkan diri. Makcik pula mahu mencari abah di Kedah tetapi tidak ada petunjuk dan keadaan politik terus kacau, dia jadi perempuan yang tua sendiri dan perlahan-lahan menjadi lagenda kecil kampung Kudei. Setiap orang di kampung itu mengetahui kisah cinta mereka. Rasa kasihan saya pada makcik makin bertambah dan saya berusaha menganggap yang dirinya adalah emak, dirinya adalah abah. Tiga tahun saya berkhidmat di Sarawak dan rasa keterbukaan antara dua wilayah ini sudah begitu padu. Saya malah tersangkutkan kasih dengan seorang pensyarah seni di UNIMAS yang rajin mengenyit mata ketika berlegar di WaterFront. Aneh, namanya juga Hasan. Awang Hasan Awang Muhamad dari Bintulu. Menjelang aidilfitri tahun lalu, suami saya menambangkan anak-anak (kembar dua yang kami namakan Hasan dan Husin) dan makcik untuk pulang beraya di Semenanjung. Pada mulanya makcik enggan ikut sama. Begitu dia berkeras sehingga nyaris kami bertelagah mulut yang buruk. Saya keras memujuk, Paling tidak makcik dapat menziarahi pusara abah. Dia tidak mahu. Katanya, Aku sik mau mengingat lagi yang lepas-lepas.
Tetapi tiba-tiba dia bertukar fikiran. Apa yang merubah pendiriannya kekal jadi tanda tanya dalam benak. Tetapi saya mahu merasakan ia sebagai gerakan dari Tuhan. Makcik saya bawa melawat pusara abah yang memang ditempatkan di belakang rumah mak ngah. Tanah di sisi pusara abah masih lengang. Cuma ada kuburan pak ngah tidak jauh dari situ dan juga makam datuk dan nenek kami. Setiap pagi dan petang makcik akan seorang diri duduk di pusara abah sehingga hati kami jadi runsing. Cinta tidak mesti bersama, kata makcik berulang-ulang. Kamek tidak pernah berhenti mencintai abang, saya pernah mencuri dengar bisiknya suatu senja sementara menunggu untuk memimpinnya pulang. Makcik memang agak segan dan malu-malu dengan kaum keluarga kami. Sanak saudara datang dari jauh untuk melihat sendiri seorang wanita tua yang suatu ketika dahulu pernah menawan hati wira keluarga, Lans Koperal Hasan. Hari ketujuh makcik di kampung, dia demam panas agak mendadak dan menghembus nafas terakhirnya dalam lelap. Saya percaya mimpi abah dan mimpi makcik adalah untuk disatukan. Saya minta makcik dikebumikan di sisi abah. Tiada sesiapa lagi di Kuching untuknya. Dia perempuan terbuang. Lama dia sengsara jadi biarkanlah dia bersemadi di sisi perindunya. Meski ramai kaum keluarga yang membantah, saya tegas mempertahankan tindakan saya dengan kata-kata, Saya percaya mereka adalah kekasih setia. Emak tentu tidak menyanggah. Saya percaya makcik adalah isteri abah. Meski sekadar di dalam hati. Dan kerana kedudukan itu, makcik adalah ibu tiri saya. Oleh kerana saya berkeras, mimpi mereka mesti menjadi kenyataan meski ia tertinggal menjadi irisan-irisan, sanak saudara terdesak akur.
Malam aidilfitri saya didatangi makcik dan abah dalam pakaian pengantin lalu mengucup dahi saya. Barangkali itulah caranya mereka mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga. Mereka hanya membisu tetapi tersenyum begitu sempurna. Mata abah berkaca-kaca. Saya terjaga dalam keadaan tersedu pilu dilatari suara takbir bergema sayup menyayukan. Saya percaya mimpi sepasang kekasih sudah pun saya tunaikan. Meski kata saya tadi, sekadar irisan-irisan. Sebelum pulang ke Kuching, Hasan yang nakal terkedek berlari menjinjing bakul kecil makcik yang tersorok di bawah katil. Bakul nenek ujarnya. Di dalam bakul yang saya sangkakan terisi benang dan jarum jahitan, terbekal bersama dua keping gambar lusuh abah waktu muda dan sekeping lagi gambar mereka berdua termasuk seutas ‘jamban tarik’ yang masih rapi terpelihara. Saya temui juga tujuh butir butang baju askar Melayu warna keemasan tetapi sudah agak luntur warnanya. Kesemuanya saya simpan hingga kini, saya berazam mahu menurunkannya sebagai pesaka berharga kerana barang-barang itu adalah sebahagian dari irisan-irisan mimpi cinta sepasang kekasih lagenda. Satiyah dan Hasan.
Ini cerita benar. Yang anda telah baca bukan fiksi. Bahkan ia lebih sempurna dari kebenaran. Ia mimpi dan ia lagenda.
Utusan Zaman 5 November 2000
--END--

Comments

Popular Posts